Saya tidak tahu nama mereka tetapi saya suka dan selalu makan rojak dan cendol yang mereka jual. Rojaknya sedap dan sambutan dari pelanggan tetap amat baik. Isteri warga emas ini memanggil setiap pelangaannya dengan panggilan "sayang". Dalam usia yang lanjut pasangan berbangsa India Muslim ini menolak kereta sorong rojak mereka setiap pagi ketapak perniagaan mereka yang terletak dihadapan Stesyen Minyak Petronas Taman Tun Dr. Ismail. Walaupun bisnes mereka bagus mereka juga sering dilawati pihak berkuasa yang sering juga mengeluarkan saman kerana berniaga ditempat yang dilarang. Bayaran saman mula menjejaskan apa jua keuntungan yang mereka perolehi.
Untuk menyelamatkan perniagaan, mereka terpaksa berpindah ke tapak yang dibenarkan oleh pihak berkuasa yang terletak ditempat letak kereta di Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail. Hanya warga emas ini sahaja yang berniaga di situ pada waktu siang. Tempat yang dibenarkan terpencil dan jauh dari halayak ramai. Pelanggan yang datang makan merupakan mereka yang terserempak dengan kereta sorong peniaga tua ini. Saya secara kebetulan semasa sedang ke pasar Taman Tun Dr. Ismail ternampak kedua-dua orang tua itu sedang berniaga. Singgah duduk makan rojak yang saya sukai dan bertanya "Sudah lama ke pindah sini" "Sudah ada 2 bulan saya pindah" jawapan warga emas lelaki. Langsung kami duduk dibawah pokok rendang di mana kereta sorongnya terletak dan dia menceritakan kisah mereka. Sedih ada dan simpati pun ada apabila saya terbayang susah payah mereka, menyorong balik kereta sorong yang berat itu. "Tak boleh merayu ke" saya bertanya. "Tak boleh sayang" isterinya menjawab.
Kadang-kadang disebabkan desakan untuk mencari pendapatan yang lebih mereka berdua terpaksa beranikan diri menolak kereta sorong mereka ke simpangan jalan berhadapan dengan Secret Recipe di Taman Tun Dr. Ismail. Di sana ramai yang lalu lalang dan jualan agak bagus juga. Malangnya mereka terus diburu dan disaman oleh pihak yang berkuasa.
Kisah yang saya ceritakan ini berlaku lebih setahun setengah dahulu. Saya tidak nampak lagi kedua-dua pasangan warga emas ini dikawasan Taman Tun Dr. Ismail. Uzur ke, masih hidup ke atau berniaga di tempat lain saya tidak tahu. Dunia mereka berdua tidak kenal apa itu internet, blog, facebook, risalah iklan (flyers), kad bisnes dsbnya. Mereka tidak pandai mengiklan bisnes mereka. Warga emas ini tidak mempunyai lesen memandu dan tidak mampu mungkin membeli lori bergerak. Mereka hanya gigih mencari rezeki mengikut apa yang mereka tahu. Umur tidak menjadi penghalang buat mereka tetapi malangnya keadaan sekeliling menghalang mereka. Bisnes dalam dunia dan zaman yang serba canggih ini tidak boleh semata-mata bergantung kepada hidangan yang sedap, kita juga perlu sentiasa mencari inovasi untuk mempromosi dan meluaskan perniagaan.
Tapak yang warga emas ini pernah berniaga dahulu berhadapan dengan Stesyen Minyak Petronas Taman Tun Dr. Ismail sudah ada seorang anak muda India Muslim berniaga disitu. Dia mengunakan lori bergerak untuk menjual rojak dan cendol dan mengajikan 3 orang warga asing untuk membantunya. Sudah lama dia di situ. Yang mengherankan saya di mana perginya pihak berkuasa. Apa mungkin warga emas ini dulu tidak punya kenalan yang berpengaruh.